Monday, July 4, 2011

KESEMPURNAAN SOLAT - Kesempurnaan Mendirikan Sembahyang Dan Memelihara Sembahyang


KESEMPURNAAN MENDIRIKAN SEMBAHYANG DAN MEMELIHARA SEMBAHYANG

Sabda Nabi S.A.W:
صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِيْ اُصَلِّيْ

[Ertinya]:  “Sembahyanglah kamu seperti apa yang kamu lihat akan daku sembahyang”.

Maka hendaklah kita mengikut akan yang dikerjakan oleh Nabi S.A.W. atas jalan yang kita ambil daripada ulama ummat ini yang dahulu dan yang kemudian seperti yang tersebut di dalam kutub (kitab-kitab) mereka itu Radhiyallahu ‘anhum.  Ialah yang dinamakan dan yang dibilangkan daripada orang yang mendirikan sembahyang dan memeliharakan dia. 

Kemudian maka adalah bagi sembahyang itu adalah baginya rupa yang zahir yang sempurna, maka iaitu syarat seperti rohnya.  Maka rukunnya seperti kepalanya dan badannya.  Sunat ab’adh itu seperti anggotanya.  Dan sunat hai-at itu seperti segala bulu perhiasannya.  Dan ada baginya rupa hakikat yang batin, tiada sempurna bagi sembahyang dan tiada tamamnya melainkan dengan mendirikan ia dengan  kedua-duanya sekali.

Maka ada pun rupanya yang zahir itu, maka iaitu seperti berdiri, takbir, membaca surah, Fatihah, ruku’, I’tidal, dua sujud, duduk antara keduanya, dan duduk ta-syahhud, tahiyat, dan salam.  Inilah daripada segala rukun yang zahir, sunatnya, dan syaratnya.    

Ada pun hakikat yang batin, maka seumpama:  khusyu’, hadir hati, seumpama ikhlas, tazallul, tafahhum bagi ma’ani qiraah, tasbih, dan lainnya daripada segala wazhifah sembahyang yang bathiniah. 

Maka zahir sembahyang bahagian badan dan anggota sedangkan batin sembahyang bahagian hati dan sirr.  Dan demikian itu tempat tilik  Haq S.W.T. daripada hambaNya ialah hati dan sirr.

Kata Imam Ghazali Rahimahullah,  “Umpama orang yang mendirikan rupa sembahyang yang zahirnya jua, lalai ia daripada hakikatnya yang batin, seperti umpama seorang menghadiahkan bagi raja yang amat besar derajatnya akan seorang “dan-daian” (dayang-dayang, maksudnya pelayan-pelayan perempuan) yang mati tiada roh baginya.  Dan umpama orang yang mentaqshirkan pada mendirikan zahir sembahyang seumpama ia menghadiahkan kepada raja akan seorang dandaian yang terpotong anggotanya dan ketiadaan dua matanya.  Maka adalah ia orang yang menghadiahkan ini dan yang dahulunya melintungkan kedua-duanya itu akan diri kedua-duanya bagi raja itu siksa, dan murka, dan marahnya.  Kerana kedua-duanya itu menghinakan bagi kehormatan kerajaannya dan meringan-ringankan oleh kedua-duanya dengan hak kerajaannya.”

Kemudian katanya,  “Maka tilik olehmu akan diri kamu, yang kamu hadiahkan sembahyang kamu kepada Tuhan kamu, jangan ada seperti itu dan takut olehmu.  Kemudian maka takut bahawa engkau menghadiahkan dengan sifat ini, maka mewajibkan kamu akan siksa.   

[Dipetik dari Kitab Mun-Yatul Mushalli oleh Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani]

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...