Monday, July 4, 2011

KESEMPURNAAN SOLAT - Kesempurnaan Sunat Ab'adh


KESEMPURNAAN SUNAT AB’ADH

Dan yang dinamakan sunat ab’adh(1) dalam sembahyang itu, yakni yang dijabarkan dengan “Sujud Sahwi”.  Hal ini berlaku sama ada pada sembahyang fardhu atau pun sembahyang sunat, ada tujuh: (2)

(a)          Membaca Tasyahhud Awal.
(b)          Membaca Shalawat atas Nabi S.A.W. kemudian daripada Tasyahhud.
(c)          Shalawat atas aali  ( آل ) (maksudnya keluarga Nabi S.A.W.) kemudian daripada Tasyahhud Akhir.
(d)          Duduknya untuk ketiga-tiga bacaan itu.
(e)          Membaca Qunut pada rakaat yang kedua sembahyang subuh dan pada rakaat akhir sembahyang witir malam 16 Ramadhan hingga akhir bulan.

(f)           Shalawat dan Salam atas Nabi S.A.W. dan atas  آل kemudian daripada Qunut.
(g)          Berdiri untuk dua bacaan itu.

(1)   Perkataan ab’adh itu jamak kepada ba’du maknanya sebahagian.  Ertinya sunat itu macam sebahagian daripada rukun sangat kuat dituntut supaya dikerjakan jika ditinggalkan sunat ditampal dengan sujud sahwi.

(2)   Di dalam Jawahir as-Saniyah, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyimpulkan termasuk dalam kategori tiga sebab, tetapi dalam Bughyatut Thullab pada kategori empat sebab.  Keterangan dalam Bughyatut Thullab jauh lebih lengkap dari Jawahir as-Saniyah.  Di sini diringkaskan dari kedua-dua kitab yang tersebut, iaitu,  “Bermula Sujud Sahwi sunat dengan salah suatu daripada tiga (empat, dalam Bughyatut Thullab):

(i)   Meninggalkan sunat Ab’adh, iaitu Tasyahhud Awwal, Qunut Subuh, Qunut Witir bulan Ramadhan pada nisfu yang akhir, meninggalkan shalawat atas Nabi S.A.W. pada Tasyahhud Awwal, tertinggal shalawat atas keluarga Nabi S.A.W. pada Tasyahhud Akhir.

(ii)   Mengerjakan perbuatan yang tiada membatalkan sembahyang dengan lupa.

(iii)  Membaca rukun Qauli yang lain daripada Takbiratul Ihram dan Salam atau membaca sunatnya yang lain daripada tempatnya dengan sengaja atau dengan lupa.  Seperti membaca Fatihah atau surah di dalam Ruku’ atau I’tidal.

(iv)  Syak ia meninggalkan sesuatu Ab’adh daripada segala yang tersebut itu, seperti syak ia pada meninggalkan Qunut.

Dari Kitab MUN-YATUL MUSHALLI oleh Syeikh Daud bin Abdullan al-Fathani

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...