Monday, July 4, 2011

KESEMPURNAAN SOLAT - Kesempurnaan Sunat Hai-at


KESEMPURNAAN SUNAT HAI-AT (1)

Ada pun sunat hai-atnya, yang tidak dijabarkan dengan “Sujud Sahwi” jumlahnya amat banyak, di antaranya:

(a)          Mengangkat dua tangan masa mula-mula bertakbiratul ihram dengan apa cara sekali pun asalkan diangkat dapatlah sunatnya.  Tetapi yang eloknya tapak tangan mengadap kiblat bertentang dengan bahu dan hujung jari bertentang dengan cuping telinga sebelah atas dan kedua-dua ibu jari bertentang dengan cuping telinga yang disebelah bawah.  Setelah habis menyebut “Akbar” turunkan kedua-dua tangan itu diletak tapak tangan yang kiri ke bawah dada ke atas sedikit daripada pusat bertentang dengan jantung hati (mirip ke kiri) manakala tapak tangan sebelah kanan digenggamkan di atas tapak tangan yang kiri itu dan boleh juga ditemukan pergelangan atas pergelangan tangan kiri dan jari-jarinya digenggamkan pada hujung tangan kiri.
(b)          Membaca doa iftitah kemudian daripada Takbiratul Ihram.
(c)          Membaca اَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ    pada tiap-tiap rakaat sebelum membaca bismillahhir rahmanir rahim untuk Fatihah.
(d)          Mengucap Amin  ( آمِبْنَ )  kemudian daripada selesai membaca Fatihah bagi diri sendiri dan mengucap Amin beserta dengan Amin yang disebut oleh imam.  Sunat berhenti saktah antara Fatihah dan Amin, antara Amin dan surah, antara surah dan Ruku’.
(e)          Membaca surah ayat Quran lepas membaca Fatihah pada dua rakaat yang pertama bagi imam atau orang yang sembahyang seorang diri (munfarad).  Surah itu hendaklah mengikut susunannya yang ada di dalam mushaf (Quran) jangan ditunggang balikkan.  Dipanjangkan bacaan surahnya pada sembahyang Subuh.  Sembahyang Zuhur dikurangkan sedikit daripadanya.   Sembahyang ‘Asar dan sembahyang ‘Isyak adalah pertengahan.  Dan sembahyang Maghrib yang terpendeknya.  Pada sembahyang Subuh Jumaat dibaca Alif Lam Mim Sajadah dan Hal Ata (surah Al-Insaan).
(f)           Menyaringkan suara  ( جهر )  ketika membaca Fatihah dan surah pada sembahyang Subuh, dua rakaat yang pertama sembahyang Maghrib, dua rakaan yang pertama sembahyang ‘Isyak, sembahyang Jumaat, sembahyang Raya Puasa dan Haji, sembahyang gerhana bulan, sembahyang minta hujan, sembahyang terawih dan dua rakaan sembahyang sunat Tawaf yang dilakukan waktu malam atau waktu Subuh
(g)          Membaca dengan suara perlahan  ( سر )  di tempat-tempat yang lain daripada yang tersebut pada (f) itu iaitu seperti sembahyang Zohor, sembahyang Asar, sunat-sunat mengiringi waktu, rakaat yang ketiga Maghrib, dua rakaat yang akhir bagi Isyak dan sembahyang gerhana matahari.  Tetapi segala sembahyang sunat mutlak yang diperbuat pada waktu malam sunat dibaca secara sederhana antara kuat dan perlahan.
(h)          Mengucap Takbiratul Intiqalat  ( الاِْ نْتِقَا لاَتْ )  yang lima iaitu:
(a)          Takbir Ruku’
(b)          Takbir turun kepada Sujud
(c)          Takbir bangkit daripadanya
(d)          Takbir Sujud yang kedua
(e)          Takbir bangkit daripada Sujud kepada Qiam

(i)            Mengangkat kedua-dua tangan seperti Takbiratul Ihram:
(a)          Tatkala hendak Rukuk
(b)          Tatkala bangkit daripada Rukuk kepada I’tidal, permulaan angkat kedua-duanya bersama-sama dengan angkat kepalanya
(c)          Tatkala bangkit daripada Tasyahhud Awal lepada Qiam
(j)         Membaca لِمَنْ حَمِدَهُ )  ( سَمِعَ اللهُ  ketika permulaan mengangkat kepalanya daripada Rukuk. Dan membaca  ( رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ )   apabila sudah berdiri betul.
(k)        Membaca  ( سُبْحَانَ رَبَّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ )   sekurang-kurangnya sekali.  Yang eloknya tiga kali, yang lebih elok lagi jika sembahyang seorang diri dibaca sampai sebelas kali atau imam di tempat yang makmumnya terhad dan mereka bersetuju baca lebih daripada tiga dengan ganjil-ganjil seperti lima kali, tujuh kali, sembilan kali dan sebelas kali.  Elok dibaca lebih tetapi jangan lebih daripada sebelas kali.
(l)         Membaca  ( سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلاَعْلَى وَبِحَمْدِهِ )    tatkala dalam Sujud sekurang-kurangnya satu kali, yang eloknya tiga kali, yang lebih elok lagi sampai sebelas kali sama seperti Sujud.
(m)         Membaca doa kemudian daripada Tasyahhud dan Shalawat pada Tasyahhud Akhir.
(n)       Duduk Tawarruk (2)  pada Tasyahhud Akhir, iaitu duduk atas dua punggunnya dan dikeluarkan kaki kiri di bawah betis kanannya.  Duduk Iftirasy (3)  iaitu duduk di atas tapak kaki kirinya dan mendirikan kaki kanannya, pada Tasyahhud Awal dan duduk antara dua sujud.  Duduk Istirahah (4).
(o)       Sunat menggenggamkan anak jari tangan kanan tatkala menghantarkannya pada lutut kanan dan dihantarkan jari kiri di atas peha kirinya berbetulan anak jarinya dengan kepala lututnya kepada kedua-dua Tasyahhud .
                       
Dan kaifiatnya menggenggamkan tangan kanan itu tiga jari, dilepaskan telunjuk, dan ditaruhkan ibu tangannya di sisi telunjuk.  Sunat mengangkatkan telunjuk tatkala mengatakan  لاَّ اللهُ  إِ maka makruh menggerak-gerakkan dia.
(p)          Sunat mengekalkan tilik kepada tempat Sujud, mengekalkan khusyu’, iaitu menghadirkan hatinya, tetap segala anggotanya, tadabbur, yakni mengira-ngirakan qiraahnya, dan akan zikirnya.
(q)          Memberi salam yang kedua serta berpaling ke kanan masa memberi salam yang pertama dan berpaling ke kiri masa memberi salam yang kedua.


(1)         Perkataan hai-at  itu jamak kepada haiah maknanya gerak geri.  Ertinya sunat hai-at itu gerak geri
            yang baik dan yang elok dilakukan.  Jika ditinggalkan tidak dikehendaki apa-apa, Cuma kurang
            elok.

(2)          Dalam Bughyatut Thullab, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menggunakan kalimah,  “ … duduk Tawarruk pada Tasyahhud yang mengiringi Salam”.

(3)           Di dalam Jawahir as-Saniah, dijelaskan bahawa duduk Istirasy juga dilakukan  “manakala ia hendak Sujud Sahwi” tetapi “manakala ia sudah Sujud Sahwinya maka hendaklan ia duduk Tawarruk”.  Duduk Iftirasy berlaku pula bagi  “orang yang masbuq”.

(4)           Dijelaskan dalam Bughyatut Thullab,  “Dan adalah ia Istirahah itu duduk perceraian antara dua rakaat bukan daripada rakaat yang kedua atas qaul yang shahihnya, seperti duduk Tasyahhud Awal jua”.  Duduk Istirahah, iaitu duduk kemudian daripada Sujud yang kedua … , duduk Tasyahhud Akhir bagi orang yang berkehendak Sujud Sahwi …”.  Dijelaskan lebih lanjut dalam Jawahir as-Saniyah, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, menulis,  “Dan sunat ia duduk Istirahah, iaitu duduk kemudian daripada Sujud yang kedua pada rakaan yang pertama hendak bangkit kepada rakaat yang kedua.  Demikian pada rakaat yang ketiga hendak berdiri kepada rakaat yang keempat.  Dinamakan duduk itu Istirahah.  Jangan dilamakan dia, hanya kadar duduk antara dua sujud jua.  Maka tempatnya kemudian daripada tiap-tiap Sujud hendak berdiri daripadanya, melainkan pada Sujud Tilawah…”

Sumber: Kitab MUN-YATUL MUSHALLI oleh Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...