Saturday, July 2, 2011

KESEMPURNAAN SOLAT - Sunat Rawatib

SUNAT  RAWATIB

Dan setengah daripada orang memelihara sembahyang ialah memelihara akan sunat rawatib ( sunat diapit fafdhu ), kerana sunat ini boleh menempel (menyempurnakan) kekurangan fardhunya, seperti sedikit cedera khusuk dan lalai hatinya.  Dan kalau tiada sunat nescaya fardhu itu kekallah dalam cedera dan rosaknya, dan luputlah bagi kita kelebihan yang amat besar di sisi TuhanNya.

Dan lagi adalah sunat itu labanya dan fardhu itu modalnya.  Dan apa faedah orang berniaga dengan tiada laba, kerana fardhu mesti dikerjakan dia, dan sunat itu untuk Tuhan tambah kasih dan ridhoNya.

Telah datang hadis maksudnya:  Bahawasanya awal-awal amalan yang dihisab ialah sembahyang.  Apabila didapati padanya kurang, dikata baginya, tilik oleh mu adakah baginya sunat yang menyempurna akan yang kurang itu, yakni kalau ada sunat di tempel dengannya dan kalau tiada terserah jua kepada TuhanNya. 

Dan sunat rawatib itu dua puluh dua rakaat yang muakkad dan tidak muakkad.  Iaitu empat rakaat dengan dua salam dahulu daripada zuhur, dan empat rakaat pula dengan dua salam kemudian daripadanya. Dan empat rakaat jua dengan dua salam dahulu daripada asar. Dan dua rakaat dahulu daripada maghrib dan dua rakaat pula kemudian daripadanya.  Dan dua rakaat dahulu daripada isya’ dan dua rakaat pula kemudian daripadanya.  Dan dua rakaat jua dahulu daripada subuh.  Jumlah sekalian dua pulu dua rakaat.

Dan kalau rawatib muakkad sahaja sepuluh rakaat jua, iaitu:
            Dua rakaat dahulu daripada subuh (tidak ada ba’diah)
            Dua rakaat dahulu daripada zuhur disebut Qabliah
            Dua rakaat kemudian daripada zuhur disebut ba’diah
            Dua rakaat kemudian daripada maghrib disebut ba’diah
            Dua rakaat kemudian daripada isya’ disebut ba’diah

Dan kalau rawatib tidak muakkad sahaja dua belas rakaat jua, iaitu:
Dua rakaat dahulu daripada zuhur (tambah dua rakaat lagi atas dua yang ada jadi empat = muakkad + tidak muakkad)
Dua rakaat kemudian daripada zuhur (tambah dua rakaat lagi atas dua yang ada jadi empat = muakkad + tidak muakkad)
            Empat rakaat dahulu daripada asar (tidak ada ba’diah)
            Dua rakaat dahulu daripada maghrib disebut Qabliah khafifah (yang ringan)
            Dua rakaat dahulu daripada isya’ disebut Qabliah

Sunat rawatib pada mereka yang hadir sembahyang Jumaat sama macam rawatib sembahyang zuhur.

Dan sembahyang sunat rawatib ini disyarat niat pada Takbiratul Ihram jika dahulu daripada fardhu wajib ada pada niatnya  “Qabliah” (dahulu).  Dan jika kemudian daripada fardhu wajib ada pada niatnya “ ba’diah” (kemudian), seperti:
" اصلّى سنّة الظّهر ر كعتين قبليّة لله تعالى "                         
(Sahaja aku sembahyang sunat zuhur dua rakaat Qabliah kerana Allah Taala)

Kalau dahulu, dan kalau kemudian daripadanya diganti tempat “Qabliah” dengan “Ba’diah”.  Begitulah dikiaskan pada yang lain.

Sunat rawatib yang tiada ba’diah tidak wajib ditentukan Qabliah atau ba’diah seperti:
" اصلّى سنّة الصّبح ر كعتين لله تعالى "                            
(Sahaja aku sembahyang sunat subuh dua rakaat kerana Allah Taala)

Dengan ini kiaskanlah sembahyang sunat dahulu daripada asar.

Cara mengerjakan sembahyang sunat rawatib ini yang eloknya ialah dua rakaat satu takbir dan satu salam.  Rakaat yang pertama baca Fatihah dan Suratul kafirun (Qulya aiyuhal kafirun) dan rakaat kedua baca Fatihah dan Suratul ikhlas (Qulhu allahu ahad).  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...