KESEMPURNAAN DUDUK TASYAHUD AKHIR, DUDUK TAWARRUK, DUDUK TASYAHUD AWAL, DUDUK ISTIRAHAH, DUDUK IFTIRASY DAN DUDUK ANTARA DUA SUJUD
Kesemuanya termasuk dalam Sunat Hai-at, iaitu duduk pada Tasyahud Akhir, Duduk Tawarruk (1), iaitu duduk atas dua punggungnya dan dikeluarkan kaki kiri di bawah betis kananya. Pada Tasyahud Awal, dan duduk antara dua sujud, dan duduk istirahah (2) , dan iftirasy (3) , iaitu duduk di atas tapak kaki kiri, mendirikan kaki kanannya, kesemuanya adalah sunat.
Sunat menggenggamkan anak jari tangan kanan tatkala menghantarkannya pada lutut kanan dan dihantarkan jari kiri di atas peha kirinya berbetulan anak jarinya dengan kepala lututnya kepada kedua-dua Tasyahhud (4)
Dan kaifiyahnya menggenggamkan tangan kanan itu tiga jari, dilepaskan telunjuk, dan ditaruh ibu tangannya disisi telunjuk. Sunat mengangkatkan telunjuk itu tatkala mengatakan:
أشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ الله
Maka makruh menggerak-gerakkan akan dia.
(1) Dalam Bughyatut Thullab, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menggunakan kalimat, “… duduk Tawarruk pada Tasyahud yang mengiringi Salam.”
(2) Dijelaskan dalam Bughyatut Thullab, “Dan adalah ia Istirahah itu duduk perceraian antara dua rakaat bukan daripada rakaat yang kedua atas qaul yang shahihnya, seperti duduk Tasyahhud Awwal jua”. “Duduk Istirahah, iaitu duduk kemudian daripada Sujud yang kedua … duduk Tasyahhud Akhir bagi orang yang berkehendak Sujud Sahwi … “. Dijelaskan lebih lanjut dalam Jawahir as-Saniyah, Syeikh Daud bin Abdullah sl-Fatani, menulis, “Dan sunat ia duduk istirahah, iaitu duduk kemudian daripada Sujud yang kedua pada rakaat yang pertama hendak bangkit kepada rakaat yang kedua. Demikian pada rakaat yang ketiga hendak berdiri kepada rakaat keempat. Dinamakan duduk itu istirahah. Jangan dilamakan dia, hanya kadar duduk antara dua Sujud jua. Maka tempatnya kemudian daripada tiap-tiap Sujud hendak berdiri daripadanya. Melainkan pada Sujud Tilawah.
(3) Di dalam Jawahir as-Saniyah, dijelaskan bahawa duduk Iftirasy juga dilakukan “manakala ia hendak Sujud Sahwi”, tetapi “manakala ia sudah Sujud Sahwinya maka hendaklah ia duduk Tawarruk “. Duduk Iftirasy berlaku pula bagi “orang yang masbuq”.
(4) Dijelaskan dalam Bughyatut Thullab, “ … digenggamkan segala anak jarinya yang kanan pada Tasyahhudnya melainkan telunjuk, maka dihunjurkan dia. Dan sunat mengangkatkan dia tatkala menyebut “illah” ( إِلاَّ الله )
serta dicenderungkan sedikit supaya menghadapkan ke Kiblat kerana mengikut perbuatan Nabi S.A.W. Dan mengqashadkan dan mengshahkan Tuhan yang disembah, maka dihimpun pada tauhidnya antara ‘itiqad, dan qauli, dan fi’li, dan hikmah ditentukan dengan telunjuk akan yang demikian itu. Kerana bahawasanya ia berhubung dengan urat hati. Maka adalah mengangkatkan dia itu sebab bagi menghadirkan hati. Dan dikekalkan dia hingga berdiri atau Salam …”. “Bermula yang terlebih afdhal bahawa digenggamkan ibu tangannya pada lambung telunjuknya serta dihantarkan dia di bawah telunjuknya atau tepinya atau pada halafahnya, yakni dipertemukan ujung ibu tangan dan ujung jari tengahnya dan dihantarkan dia di atas jari tengahnya”.
[ Dari Kitab MUN-YATUL MUSHALLAI oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani ]
No comments:
Post a Comment