Monday, August 1, 2011

SOLAT SUNAT ISTIKHARAH - Tatacara Melaksanakannya

SOLAT ISTIKHARAH – Tata Cara Melaksanakannya

PENGENALAN

Silat Istikharah bermaksud solat untuk memohon kepada Allah agar ditunjukkan keputusan yang terbaik dalam sesuatu urusan yang menimbulkan keraguan dalam memilih keputusan yang terbaik.

DALIL DISYARI’ATKAN SOLAT ISTIKHARAH

Solat ini disunatkan walaupun bagi urusan-urusan yang kecil.  Solat Istikarah ini telah diperjelaskan melalui hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a., dia berkata:  Rasulullah SAW pernah mengajarkan Istikharah kepada kami dalam segala urusan, sebagaimana baginda mengajar kami surah dari Al-Quran.  Baginda bersabda: 

“Apabila salah seorang di antara kamu berkeinginan keras melakukan sesuatu, hendaklah ia mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardhu kemudian membaca doa:

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib.

Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebut secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan:  baik dalam waktu yang dekat ataupun yang akan datang – maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkan ia untukku.  Kemudian berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya.

Dan jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebut secara langsung urusan yang dimaksudkan) buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan:  baik dalam waktu yang dekat maupun yang akan datang – maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada.  Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.

Baginda bersabda:  Hendaklah dia menyebutkan apa yang dihajatkannya.”  (Riwayat Imam al-Bukhari).

WAKTUNYA

1.  Solat Istikharah boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dikehendaki asalkan bukan di dalam waktu-waktu yang dilarang solat sunat.
2.  Sangat baik dilakukan sesudah lewat tengah malam disaat sunyi, supaya hati lebih khusuk dalam mengemukakan permohonan kepada Allah.
3.  Solat ini sangat peribadi sifatnya.  Sebab itu harus dikerjakan sendirian.
4.  Solat ini tidak memakai azan atau iqamah.

RINGKASAN TATACARA MENGERJAKAN SOLAT ISTIKHARAH

Rakaat Pertama
(1)  Berniat didalam hati.  Lafaz niatnya:
أُصَلَّى سُنَّةً الإِْسْتِخَارَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
(Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Ta’ala”
(2)  Takbiratul Ihram.
(3)  Doa Iftitah.
(4)  Membaca surah Al-Fatihah.
(5)  Membaca surah Al-Quran:  Selepas Al-Fatihah membaca surah Al-Kafirun.
(6)  Rukuk.
(7)  ‘Iktidal.
(8)  Sujud.
(9)  Duduk antara dua sujud.
(10)  Sujud kali kedua.
(11)  Bangun untuk rakaat kedua.

Rakaat Kedua
(1)  Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10), kecuali no. (5) Membaca surah Al-Quran:  Selepas Al-Fatihah membaca suran Al-Ikhlas.
(2)  Duduk untuk Tahiyat Akhir.
(3)  Memberi salam .
(4)  Membaca doa istikharah (seperti dalam hadis di atas)

BEBERAPA PERKARA BERKAITAN SOLAT ISTIKHARAH

1.  Solat istikharah hanya boleh dilaksanakan apabila berhadapan dengan urusan-urusan yang harus sahaja, baik ianya isu yang besar ataupun kecil, perkara yang penting ataupun tidak.  Contohnya membuat keputusan perkahwinan, perniagaan, untuk keluar bermusafir dan sebagainya.  Bagi urusan-urusan yang diwajibkan atau disunatkan Syarak, tidak perlu lagi istikharah.  Setiap yang disuruh oleh Syarak adalah jelas baik tanpa syak lagi.  Begitu juga dengan urusan-urusan yang diharamkan oleh Syarak atau dimakruhkan, tidak perlu lagi  diistikharahkan kerana ia dilarang oleh Syarak.  Setiap yang dilarang oleh Syarak adalah buruk tanpa syak lagi.
2.  Tidaklah termasuk dalam syarat solat istikharah bahawa  seseorang itu akan mendapat mimpi tentang pilihan terbaik.  Adapun tanda-tanda atau petunjuk dari Allah selepas istikharah ialah apa yang dirasakan oleh hati. Orang yang beristikharah itu hendaklah melakukan atau memilih apa yang hatinya berasa senang dan yakin untuk melakukannya.
3.  Suatu perkara yang perlu diingat ialah ketika melakukan istikharah, hati hendaklah ikhlas kepada Allah.  Jangan melakukan istikharah dalam keadaan hati cenderung pada mana-mana keputusan, kerana itu tandanya hati kita tidak ikhlas dalam beristikharah kepada Allah.  Jangan berpegang dengan ketenangan hati yang terbit dari kehendak hawa nafsunya sebelum istikharah.  Maknanya orang yang melakukan istikharah hendaklah ia meninggalkan pilihan sendiri sebelum istikharah, kerana kalau demikian bukanlah beristikharah kepada Allah namanya, tetapi beristikharah kepada nafsu sendiri..

Wallahu a’lam. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...